Sinopsis Mahabbah (drama)

Mahabbah membuktikan setiap insan mempunyai persepsi tersendiri mengenai cinta. Tan Sri Sabri (Dato’ Jalaludin Hassan) menganggap sebuah perkahwinan itu tidak seharusnya berlandaskan cinta semata-mata, malah harus berlandaskan legasi perniagaan. Tan Sri Sabri menganggap Sabila (Nur Fathia Latiff) tidak layak untuk menjadi menantunya, malah merasakan Sabila adalah pesaingnya yang akan mempengaruhi hidup Iskandar. Dia merasakan hubungan itu perlu dihalang dan memaksa Iskandar (Azlee Khairi) untuk membuat pilihan, samada keluarga atau Sabila.

Walau apapun rintangan yang datang menguji, cinta Iskandar terhadap Sabila melebihi dari segalanya. Iskandar tetap dengan pendiriannya untuk berkawin dengan Sabila. Sesungguhnya, takdir menyebelahi Iskandar dan hajat untuk berumahtangga bersama Sabila menjadi kenyataan. Selepas berkahwin, mereka dianugerahkan cahaya mata yang bernama Asyraf. Meskipun kehidupan Iskandar bahagia di samping keluarga tersayang, namun di sebalik kebahagian itu dia terpaksa menanggung derita akibat daripada penyakit kanser yang dihadapinya.

Iskandar cuba menyembunyikan penyakit kanser yang dialaminya dari pengetahuan Sabila. Namun begitu penyakitnya itu bertambah teruk sehingga menyebabkan dia pengsan. Iskandar dikehendaki untuk menjalani pembedahan dan ini memaksa meminta pertolongan dari bapa mertuanya. Tan Sri Sabri bersetuju untuk menghulurkan bantuan tetapi mengenakan syarat supaya Sabila meninggalkan Iskandar dan Asyraf.

Sabila bersetuju untuk menuruti syarat bapa mertuanya itu dan meninggalkan Iskandar sejurus pembedahan dilakukan. Berbulan lamanya Iskandar menanti kepulangan Sabila. Namun penantian itu berakhir dengan kehadiran surat cerai daripada Sabila. Sabila terpaksa menipu dengan memberi alasan bahawa dia ingin kembali ke pangkuan bekas kekasihnya. Tan Sri Sabri berusaha untuk menjodohkan Iskandar dengan pilahannya, Kartina (Anzalna Nasir). Selepas beberapa tahun, Iskandar menjumpai Sabila menerusi majalah sebagai pereka fasyen yang berjaya.

Asyraf disahkan mempunyai masalah lemah jantung dan memerlukan penderma. Sejurus Sabila mengetahui mengenai penyakit yang dialami oleh Asyraf, dia terus datang untuk menghulurkan bantuan. Pada masa yang sama, Iskandar ingin mengetahui kebenaran daripada Sabila. Berjayakah Iskandar mendapat kebenaran yang bertahun lamanya disembunyi oleh Sabila? Adakah kepulangan Sabila akan mengubah segala-galanya? Berjayakah Iskandar dan Sabila mengecapi kebahagian yang pernah punah sebelum ini? Ingin mengetahui apakah yang berlaku seterusnya?